Thursday, July 14, 2011

Peristiwa Islam Akhir Zaman


PENYAKIT UMAT-UMAT DAHULU

H.R.HAKIM



Daripada Abu Hurairah ra katanya : Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda :"Umat ku akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah menimpa umat-umat dahulu". Sahabat bertanya, "Apakah penyakit-penyakit umat-umat terdahulu itu?" Nabi SAW menjawab, " Penyakit-penyakit itu ialah (1) terlalu banyak seronok (2) terlalu mewah (3) menghimpun harta sebanyak mungkin (4) tipu menipu dalam merebut harta benda dunia (5) saling memarahi (6) hasud menghasud sehingga zalim menzalim".


Penyakit-penyakit yang disebutkan oleh Rasulullah SAW tadi telah banyak kita lihat di kalangan kaum Muslimin di hari ini.

Disana sini kita melihat penyakit ini merebak dan menjalar dalam masyarakat kita dengan pelbagai cara. Dunia Islam di landa krisis rohani yang sangat tajam dan meruncing. Dengan kekosongan rohani itulah mereka terpaksa mencari dan menimbun harta benda sebanyak-banyak nya untuk memuaskan hawa nafsu. Maka apabila hawa nafsu diperturutkan tentunya mereka terpaksa menggunakan segala macam cara dan tipu helah. Di saat itu, hilanglah nilai-nilai akhlak dan yang wujud hanyalah kecurangan, khianat, hasud-menghasud dan sebagainya.


GOLONGAN ANTI HADIS



H.R. ABU DAUD DAN IBNU MAJAH



Daripada Miqdam bin Ma'dikariba ra berkata : Bahawasanya Rasulullah SAW bersabda : " Hampir tiba suatu masa di mana seorang lelaki yang sedang duduk bersandar di atas katilnya, lalu disampaikan orang kepadanya sebuah hadis daripada hadis ku maka ia berkata : "Pegangan kami dan kamu hanyalah kitabullah (al-Quran) sahaja. Apa yang dihalalkan oleh al-Quran kami halalkan. Dan apa yang ia haramkan kami haramkam". (Kemudian Nabi SAW melanjutkan sabdanya): "Padahal apa yang diharamkan oleh Rasulullah SAW, samalah hukumnya dengan apa yang diharamkan oleh Allah SWT".


Lelaki yang dimaksudkan di dalam hadis ini ialah seorang yang mengingkari kedudukan Hadis sebagai sumber hukum yang kedua selepas al-Quran. Ia hanya percaya kepada al-Quran sahaja. Baginya, hadis tidak perlu untuk dijadikan sumber hukum dan tempat rujukan. Golongan ini tidak syak lagi telah terkeluar dari ikatan Agama Islam. Dan pada realitinya seseorang itu tidak akan dapat memahami al-Quran jika tidak merujuk kepada hadis Nabi SAW. al-Quran banyak menerangkan hal-hal yang besar dan garis panduan umum. Maka Hadislah yang berfungsi untuk memperincikan isi dan kandungan serta kehendak ayat-ayatnya serta menghuraikan dan menerangkan yang musykil. Oleh kerana itu, syariat tidak akan sempurna kalau hanya dengan al-Quran sahaja, tetapi ia mesti disertai dengan hadis Nabi SAW.


UMAT ISLAM MENGIKUTI
LANGKAH-LANGKAH YAHUDI DAN NASRANI




H.R. MUSLIM



Daripada Abu Said Al-Kudri ra berkata : Bahawasanya Rasulullah SAW bersabda :" Kamu akan mengikuti jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka". Sahabat bertanya, " "Ya Rasulullah! Apakah Yahudi dan Nasrani yang kau maksudkan?" Nabi SAW menjawab, " Siapa lagi kalau bukan mereka".

Umat Islam yang mengikut jejak langkah apapun "cara hidup" orang-orang Yahudi dan Nasrani, hinggalah dalam urusan orang kecil dan perkara-perkara yang tidak munasabah. Contohnya, jikalau orang Yahudi dan Nasrani masuk ke lubang biawak yang kotor dan sempit sekalipun, orang Islam akan terus mengikut mereka.

Zaman sekarang ini kita dapat melihat kenyataan sabdaan Rasulullah SAW ini. Ramai orang Islam yang kehilangan pegangan di dalam kehidupan. Mere hanya meniru "cara hidup" Yahudi dan Nasrani samada mereka sedar atau tidak. Ramai orang Islam yang telah terperangkap dengan tipu helah Yahudi dan Nasrani dan ramai pula orang yang menjadi alat dan tali barut mereka.


ILMU AGAMA AKAN BERANSUR-ANSUR HILANG



H.R. MUSLIM



Daripada Abdullah bin Amr bin ash' ra berkata : Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda :" Bahawasanya Allah SWT tidak mencabut (menghilangkan) akan ilmu itu dengan sekaligus dari (dada) manusia. Tetapi

Sekarang ini alim-ulama sudah berkurangan. Satu demi satu pergi meninggalkan kita. Kalau peribahasa Melayu mengatakan "patah tumbuh hilang berganti", peribahasa itu tidak tepat berlaku kepada alim-ulama.
Mereka patah sayap payah tumbuh dan hilang payah berganti. Sampailah suatu masa nanti permukaan bumi ini akan kosong dari ulama. Maka pada masa itu sudah tidak bererti lagi kehidupan di dunia ini. Alam penuh dengan kesesatan. Manusia telah kehilangan nilai dan pegangan hidup. Sebenarnya alim-ulama lah yang memberikan makna dan erti pada kehidupan manusia di permukaan bumi ini. maka apabila telah pupus alim ulama, hilanglah segala sesuatu yang bernilai.

Di akhir-akhir ini kita telah melihat gejala-gejala yang menunjukkan hampirnya zaman yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW tadi. Dimana bilangan ulama-ulama hanya tinggal sedikit dan usaha untuk melahirkan pula tidak mendapat perhatian yang sewajarnya. Pondok-pondok dan sekolah-sekolah agama kurang mendapat perhatian daripada cerdik pandai. Mereka banyak mengutamakan pengajian-pengajian di bidang urusan keduniaan yang dapat meraih keuntungan harta benda dunia. Inilah realiti masyarakat kita di hari ini. Oleh itu, perlulah kita memikirkan hal ini dan mencari jalan untuk menyelesaikannya.


TAKWA DAN PERPADUAN
ASAS KESELAMATAN DI AKHIR ZAMAN

H.R. ABU DAUD DAN TIRMIZI


Daripada Abi Najih 'Irbadh bin Sariyah ra. berkata : "Telah menasihati kami oleh Rasulullah saw akan satu nasihat yang menggetarkan hati kami dan menitiskan air mata kami ketika mendengarnya, lalu kami berkata : Ya Rasulullah! Seolah-olah ini adalah nasihat yang terakhir sekali maka berilah pesanan kepada kami. Lalu baginda pun bersabda : "Aku berwasiat akan kamu supaya sentiasa bertakwa kepada Allah dan mendengar serta taat (kepada pemimpin) sekalipun yang memimpin kamu itu hanya seorang hamba. Sesungguhnya sesiapa yang panjang umur nya daripada kamu pasti ia akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnah ku dan sunnah para Khulafa Ar Rasyidin Al Mahdiyin (Khalifah-Khalifah yang mengetahui kebenaran dan mendapat pimpinan ke jalan yang benar) dan gigitlah sunnah-sunnah itu dengan gigi geraham dan jauhilah perkara-perkara yang baharu (bid'ah) yang diada-adakan, kerana sesungguhnya tiap-tiap bid'ah itu adalah sesat".

Hadis di atas mengandungi pesanan-pesanan yang sangat berharga dari pada Rasulullah saw bagi umatnya, terutama bila mereka berhadapan dengan zaman yang penuh dengan kacau bilau dan perselisihan iaitu zaman yang sedang kita hadapi sekarang ini. Oleh itu sesiapa yang mahu selamat maka hendaklah ia mengikuti tunjuk ajar yang telah disabdakan oleh Rasulullah saw dalam hadis ini iaitulah : -

1. Hendaklah ia melazimi takwa kepada Allah dalam apa juga keadaan pun dengan mengerjakan segala perintah Allah dan menjauhi segala laranganNya.

2. Mentaati perintah pihak yang menguruskan hal ehwal kaum muslimin walaupun seandainya mereka terdiri daripada golongan hamba, selama mereka berpegang dengan Al-Quran dan sunnah Nabi saw dan sunnah-sunnah khulafa ArRasyidin, kerana patuh kepada penguasa yang mempunyai sifat-sifat ini bererti patuh kepada Al Quran dan Hadis Nabi saw.

3. Berpegang teguh kepada sunnah Nabi saw dan sunnah para khulafa ArRasyidin Al Mahdiyin (Abu Bakar, Omar, Osman dan Ali ra) yang mana mereka telah mendapat pertunjuk daripada Allah Taala, iaitulah berpegang kepada fahaman dan amalanm ahli sunnah wal jamaah yang mana hanya penganut fahaman ini sahaja yang mendapat jaminan selamat daripada api neraka dan yang bertuah mendapatkan syurga pada hari kiamat nanti. InsyaAllah...

4. Menjauhi perkara-perkara atau apa jua fahaman dan amalan yang ditambah kepada agama Islam yang sempurna ini, pada hal tidak ada dalil atau asal dan contoh dari agama.

Sunday, April 17, 2011

Jagalah Aurat Kamu Mengikut Hukum Islam Bukan Ikutan Budaya Fesyen


Kamus Lisan al-Arab karangan Ibn Manzur menjelaskan makna tabarruj ialah apabila seorang wanita menampakkan perhiasan serta kecantikannya kepada lelaki. (Ibnu Manzur, Lisan al-Arab, jld:3, hlm:33). Ini bermaksud apa sahaja perbuatan seorang wanita dalam menghiasi wajahnya serta tubuhnya supaya dilihat oleh orang lelaki dan ia termasuk juga memperagakan fesyen pakaian. 

Dalam persoalan ini anda boleh lihat adanya tiga kategori wanita. Yang pertama, menutup aurat dengan sempurna. Kedua, menutup aurat tetapi tidak sempurna dan ketiga, langsung tidak menutup aurat. 
Kumpulan pertama menutup aurat dengan sempurna kerana dia sedar bahawa itu adalah perintah Allah SWT. Menyedari bahawa hukum menutup aurat itu wajib serta memahami cara yang betul dalam menutup aurat.

Kumpulan kedua menutup aurat, tetapi tidak sempurna. Kategori ini mutakhir ini cukup banyak. 
Menutup aurat bukan sekadar melilit sehelai kain di atas kepala tetapi memelihara kecantikan diri daripada diperagakan kepada orang awam. Kadang-kadang kepala ditutup dengan tudung tetapi pada masa yang sama potongan tubuh badan dipertonton kepada orang.

Hakikatnya, pemahaman masyarakat wanita Muslim dalam persoalan menutup aurat masih cetek. Ungkapan "Daripada tak tutup langsung lebih baik tutup." Kata-kata ini, tampak baik, semacam positif, pada hakikatnya suatu yang dangkal. 
Kenapa perlu dibandingkan dengan yang tidak menutup aurat? Kononnya yang menutup aurat walaupun tidak sempurna sudah kira baik… Kenapa tidak dibandingkan dengan yang lebih sempurna dalam menutup aurat? 

Itulah manusia yang banyak sangat beralasan dalam urusan dunia dibandingkan dirinya denga yang lebih baik, manakala dalam urusan agama membandingkan dirinya dengan yang paling teruk. 

Tidak salah berfesyen dalam bertudung tetapi sebelum dilihat kepada aspek fesyen, adalah lebih baik dilihat aspek hukum. Mungkin ada yang berpendapat bahawa pandangan saya agak jumud. Tetapi suka saya nyatakan bahawa takut saya pada Pencipta mengatasi keinginan nafsu manusia. Cuba lihat diri anda yang sempurna kejadiannya, cantik, rambut ikal mayang, sihat dan sebagainya. 

Manusia itu sempurna tidak kira lelaki mahupun perempuan. Siapa yang menjadikan manusia berpasangan, ada lelaki ada perempuan? Jawapannya tidak lain tidak bukan ialah Allah SWT. 
Dialah yang menjadikan rupa paras wanita dengan keayuan yang semula jadi, yang menjadi tarikan orang lelaki dan Dia jugalah yang memerintah agar kamu wahai wanita hendaklah menutup aurat.

Suruhan ini bukan daripada saya atau mana-mana ulama atau mufti, tetapi suruhan ini datangnya daripada Allah yang menjadikan kamu. Hairannya, manusia terima semua yang diberi oleh Pencipta seperti makan, minum, kesihatan, rezeki dan macam-macam lagi kalau mahu dihitung sudah pasti manusia tidak dapat menghitungnya nikmat tuhan, tetapi bila disuruh menutup aurat dia ingkar, suruh solat dia ingkar, suruh zakat dia ingkar dan banyak lagi keingkaran yang dilakukan oleh manusia.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang jahiliah zaman dahulu; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat; dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya. Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu - Wahai 'AhlulBait'dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (daripada segala perkara yang keji). (al-Ahzab: 33)

Seorang ahli tafsir mengulas ayat ini dengan berpendapat: "Tabarruj wanita bermakna dia (wanita) meletakkan penutup (kain selendang) atas kepalanya dan tidak mengikatnya sehingga boleh dilihat leher dan segala perhiasannya, termasuklah rantai dilehernya." (Ibn Kathir, jld: 3, hlm: 482-483). 
Manakala Abu Ubaidah berpendapat: "Tabarruj bermaksud seorang wanita menampakkan kecantikannya yang memungkinkan orang lelaki ghairah."(Tafsir al-Alusiy, jld: 21, hlm: 8)

Ulasan ulama dalam ayat di atas serta kaitannya dengan perhiasan di zaman jahiliah. Maksudnya sebelum kedatangan Islam orang Arab perempuan memang sudah menutupi kepala mereka. 

Setelah Islam menyinari bumi, dan lokasi sinaran itu ialah Mekah. Jadi masalah sosial juga berlegar dalam persoalan masyarakat hari itu. 
Selepas turunnya ayat dari surah al-Ahzab ayat 33 yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang Jahiliah yang dahulu dan terus dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan taatilah Allah dan Rasul-Nya. Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan daripada kamu, hai 'ahl al-bait' dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya."
Lantaran itu, wanita-wanita Islam segera menutup aurat dengan sempurna sehingga tidak mendedah rambut, leher dan segala perhiasan di leher mereka. Inilah perbezaan yan ketara antara wanita Islam zaman ini dengan wanita Islam di zaman Nabi SAW. 

Generasi al-Quran ini cukup unik dan dinamik. Apabila sampai sahaja perintah Allah SWT melalui al-Quran, mereka segera menyahut tanpa sebarang bantahan dan alasan. 
Sebagai balasannya, Allah SWT menjanjikan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat, yang pastinya di atas sifat tunduk dan patuh kepada perintah dan suruhan Allah SWT, mereka kelak akan dibalas dengan syurga yang tidak tergambar nikmatnya.

Hari ini macam-macam alasan diberi untuk melepaskan diri daripada perintah Allah SWT. 
Dulu, zaman Nabi SAW, orang-orang Arab kuat nafsu, sebab itulah wanita zaman itu kena berkelubung, pakaian warna hitam, tutup muka dan sebagainya. Kalau betul apa yang didakwa, minta tolong kemukakan kes-kes rogol dan pencabulan yang ada pada masa itu. Itu di zaman jahiliah. 
Wanita Melayu juga pada satu ketika dahulu, mungkin awal 1950an, perempuan-perempuannya berkelubung dengan kain batik, bila dengar suara lelaki lari menyorok, tidak mudah keluar rumah. 

Maksudnya pergerakan dan perwatakan mereka dikawal oleh kedua-dua orang tua. Adakah pada awal tahun 1950 banyak kes rogol, pencabulan, buang anak, gugurkan janin, anak luar nikah, lari dari rumah, kanak-kanak hilang dan sebagainya? 
Keruntuhan moral, budaya dan ancaman luaran yang menyebabkan segala macam bencana manusiawi yang tidak pernah berlaku di zaman jahiliah dan juga di awal kemerdekaan berlaku hari ini. 

Dewasa ini orang memakai tudung sempurna pun tidak selamat, ini pula sengaja mendedahkan aurat semacam bersedia untuk dibaham. 
Kecantikan seorang wanita terletak pada sejauh mana ketaatannya kepada Allah SWT. Adalah suatu yang salah kalau orang perempuan merasakan kaum lelaki akan tertawan dengan rupa parasnya semata-mata tanpa melihat kepada unsur-unsur keagamaan pada dirinya.
Jarang pembeli memilih kuih yang terdedah kepada lalat, asap dan kotoran. Biasanya pembeli akan memilih kuih tertutup dengan tudung saji. Kecantikan dan rupa paras yang Allah SWT berikan adalah untuk tontonan suami bukannya untuk orang lain. Dunia dipenuhi dengan perhiasan, maka sebaik-baik perhiasannya ialah wanita solehah.


wallahhua'lam.....fikir-fikirlah....gunakan ilmu dan amal....

Wednesday, February 16, 2011

Sketsa Kehidupan


Di dalam setiap liku kehidupan yang ku tempuhi,banyak kesalahan dan keburukan yang aku telah lakukan.Disitu, ku lihat betapa besarnya cabaran untuk hidup di dunia ini dan tanggungjawab semakin hari semakin besar.Ku impikan kejayaan dan kebahagiaan yang datang.Namun,setelah berkali-kali berusaha,kejayaan dan kebahagiaan yang ku impikan itu bagaikan angin yang menghembus di tepian pantai,yang hanya datang dan pergi.

Hari-hari yang ku lalui penuh berduri,tiada siapa yang dapat membaca hati yang terluka dek terkena sembilu yang menikam diri.Telahku usahakan untuk mengubah diri menjadi insan yang terbaik,namun apabila aku ingin berubah,ada sahaja ujian yang menimpa.Aku tidak tahu mana arah tuju hati yang terluka ini.

Mungkinkah ini cabaran yang perlu ku lalui untuk menemui kejayaan dan kebahagiaan pada masa akan datang.Betul kata mak.Kita mesti kuat untuk menempuhi segala cabaran dan ujian yang Allah berikan.Mungkin itu sebagai anak-anak tangga yang perlu kita lalui untuk sampai ke puncak.
Ku akan ingat pesan mak;"berusahalah nak,mak doakan kejayaan dan kebahagiaan anak mak sebelum mak menghembuskan nafas terakhir".Setiap kali aku teringat kata-kata itu,air mataku mengalir dengan tiba-tiba.

Diatas adalah sebahagian sketsa kehidupan yang telah ku lalui....

Allah adalah yang satu yang wajib kita taati dan Nabi Muhammad itu Pesuruh-Nya yang patut kita menjadi panduan dalam hidup.AlQuran dan Alsunnah sebagai pembimbing kita kearah kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Surah 1 Al-Fatihah ( 7 ayat ) الفاتحة
1 Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
2 Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. الْحَمْدُ للّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
3 Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. الرَّحْمـنِ الرَّحِيمِ
4 Yang menguasai di Hari Pembalasan مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ
5 Hanya Engkaulah yang kami sembah,dan hanya kepada Engkaulah kami meminta pertolongan.
إِيَّاكَ نَعْبُدُ وإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ
6 Tunjukilah kami jalan yang lurus, اهدِنَــــا الصِّرَاطَ المُستَقِيمَ
7 (yaitu) Jalan orang-orang yang telah Engkau beri ni'mat kepada mereka; bukan (jalan)
mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat.
صِرَاطَ الَّذِينَ أَنعَمتَ عَلَيهِمْ غَيرِ المَغضُوبِ عَلَيهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ

Tuesday, February 15, 2011

NASIHAT-NASIHAT BUAT RENUNGAN

Nasihat-Nasihat Buat Renungan


1. Ikhlaskan niat dalam segala tindakan, semata-mata hanya bagi Allah serta elakkan diri daripada terjerebak dalam riya’ sama ada perkataan dan perbuatan.

2. Ikutilan Sunnah Nabi Muhammad s.a.w. dalam segenap perkataan, perbuatan dan keluhuran akhlaknya yang tinggi.

3. Bertaqwalah kepada Allah serta berazam sungguh-sungguh untuk melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala tegahan-Nya.

4. Bertaubatlah kepada Allah dengan “Taubat Nasuha” serta memperbanyakkan istighfar kepada-Nya.

5. Lahirkan dalam diri bahawa Allah SWT menyaksikan segala pergerakan anda.

6. Serah dan sediakan diri anda untuk melaksanakan segala peraturan dan undang-undang Islam, kerana Islam diambil daripada perkataan selamat di dunia dan akhirat, usahlah mengkiaskan sesuatu perkara atau urusan agama itu menurut akal anda, kerana akal itu terbatas cara berfikirnya sepertimana terbatasnya penglihatan anda.

7. Duduk serta bergaullah dengan pada alim ulama, tunjukkan kasih anda kepada mereka, ambil ilmu daripada mereka, indarkan diri anda daripada mengherdik atau merendah-rendahkan kedudukan mereka, latihlah anak-anak anda dengan demikian, kerana sesungguhnya ‘ulama’ itu adalah pewaris nabi-nabi.

8. Biasakan diri anda untuk sentiasa mendengar nasihat, bimbingan agama serta mengambil faedah daripadanya.

9. Terimalah kebenaran, sama ada daripada yang tua mahupun yang muda, hindarilah diri anda daripada sifat degil dan hidung tinggi.

10. Perbetulkan aqidah anda berdasarkan kitab Al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad, hindari diri anda daripada aqidah serta ungkapan-ungkapan yang membawa kepada kekufuran.

11. Berimanlan anda hanya kepada Allah serta para Malaikat, Kitab-kitab, Rasul-rasul-Nya, hari akhirat serta qada’ dan qadar baik atau buruk hanya daripada Allah sahaja.

12. Usahlah anda bertaqlid (mengikut dalam urusan agama) secara membuta-tuli tanpa ilmu agama.

13. Janganlah anda mentafsirkan Al-Quran mengikut selera atau pendapat anda tanpa dirujuk kepada ilmu tafsir yang sebenar lagi sohih.

14. Bersungguh-sungguh dalam mencari ilmu dengan merujuk kepada kitab-kitab serta mengajarkannya, ini kerana sebaik-baik manusia ialah mereka yang belajar dan kemudian mengajar dengan ilmu yang telah dipelajari.

15. Hendaklah anda berpegang teguh dengan kitab mazhab fiqh anda.

16. Biasakan dengan membaca kitab-kitab seperti Riyadh as-Solihin serta al-Azkar oleh Imam an-Nawawi, Kitab Sirah Nur al-Yakin oleh Syeikh Al-Khidri dan lain-lain.

17. Elakkan diri anda daripada melihat serta membaca majalah-majalah atau segala alat sebaran am yang bersifat lucah seta buku-buku yang menentang Islam.

18. Jadikanlah diri anda orang pertama melakukan kebaikan yang beroleh pahala agar dapat dicontohi oleh orang lain.

KATA-KATA HIKMAH


KATA KATA HIKMAH
1) Jangan sekali-kali kita meremehkan sesuatu perbuatan baik walaupun hanya sekadar senyuman.
2) Dunia ini umpama lautan yg luas. Kita adalah kapal yg belayar di lautan telah ramai kapal karam didalamnya.. andai muatan kita adalah iman, dan layarnya takwa, nescaya kita akan selamat dari tersesat di lautan hidup ini.
3) Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan.
4) Setiap yang kita lakukan biarlah jujur kerana kejujuran itu telalu penting dalam sebuah kehidupan. Tanpa kejujuran hidup sentiasa menjadi mainan orang.
5) Hati yg terluka umpama besi bengkok walau diketuk sukar kembali kepada bentuk asalnya.
6) Dalam kerendahan hati ada ketinggian budi. Dalam kemiskinan harta ada kekayaan jiwa. Dalam kesempitan hidup ada kekuasaan ilmu.
7) Ikhlaslah menjadi diri sendiri agar hidup penuh dengan ketenangan dan keamanan. Hidup tanpa pegangan ibarat buih-buih sabun. Bila-bila masa ia akan pecah.
8) Kegagalan dalam kemuliaan lebih baik daripada kejayaan dalam
kehinaan. Memberi sedikit dengan ikhlas pula lebih mulia dari memberi
dengan
banyak tapi diiringi dengan riak.
9) Tidak ada insan suci yang tidak mempunyai masa lampau dan tidak ada insan yang berdosa yang tidak mempunyai masa depan.
10) Kata-kata yang lembut dapat melembutkan hati yang lebih keras dari
batu.Tetapi kata-kata yang kasar dapat mengasarkan hati yang lunak seperti
sutera.
11) Lidah yang panjangnya tiga inci boleh membunuh manusia yang tingginya enam kaki.
12) Agama tidak pernah mengecewakan manusia. Tetapi manusia yang selalu mengecewakan agama.
13) Nafsu mengatakan perempuan itu cantik atas dasar rupanya. Akal
mengatakan perempuan itu cantik atas dasar ilmu dan kepintarannya. Dan
hati mengatakan perempuan itu cantik atas dasar akhlaknya.
14) Keikhlasan itu umpama seekor semut hitam di atas batu yang hitam di malam yang amat kelam. Ianya wujud tapi amat sukar dilihat.
15) Hidup memerlukan pengorbananan. Pengorbanan memerlukan perjuangan.
Perjuangan memerlukan ketabahan. Ketabahan memerlukan keyakinan.
Keyakinan pula menentukan kejayaan. Kejayaan pula akan menentukan
kebahagiaan.
16) Seseorang yang bijak melahirkan kata-kata selalunya disanjung sehingga ia mula bercakap kosong

KISAH NABI ADAM A.S


KISAH NABI ADAM A.S


Setelah Allah s.w.t.menciptakan bumi dengan gunung-gunungnya,laut-lautannya dan tumbuh-tumbuhannya,menciptakan langit dengan mataharinya,bulan dan bintang-bintangnya yang bergemerlapan menciptakan malaikat-malaikatnya ialah sejenis makhluk halus yangdiciptakan untuk beribadah menjadi perantara antara Zat Yang Maha Kuasa dengan hamba-hamba terutama para rasul dan nabinya maka tibalah kehendak Allah s.w.t. untuk menciptakan sejenis makhluk lain yang akan menghuni dan mengisi bumi memeliharanya menikmati tumbuh-tumbuhannya,mengelola kekayaan yang terpendam di dalamnya dan berkembang biak turun-temurun waris-mewarisi sepanjang masa yang telah ditakdirkan baginya.

Kekhuatiran Para Malaikat.

Para malaikat ketika diberitahukan oleh Allah s.w.t. akan kehendak-Nya menciptakan makhluk lain itu,mereka khuatir kalau-kalau kehendak Allah menciptakan makhluk yang lain itu,disebabkan kecuaian atau kelalaian mereka dalam ibadah dan menjalankan tugas atau karena pelanggaran yang mereka lakukan tanpa disadari.Berkata mereka kepada Allah s.w.t.:"Wahai Tuhan kami!Buat apa Tuhan menciptakan makhluk lain selain kami,padahal kami selalu bertasbih,bertahmid,melakukan ibadah dan mengagungkan nama-Mu tanpa henti-hentinya,sedang makhluk yang Tuhan akan ciptakan dan turunkan ke bumi itu,nescaya akan bertengkar satu dengan lain,akan saling bunuh-membunuh berebutan menguasai kekayaan alam yang terlihat diatasnya dan terpendam di dalamnya,sehingga akan terjadilah kerusakan dan kehancuran di atas bumi yang Tuhan ciptakan itu."

Allah berfirman,menghilangkan kekhuatiran para malaikat itu:
"Aku mengetahui apa yang kamu tidak ketahui dan Aku sendirilah yang mengetahui hikmat penguasaan Bani Adam atas bumi-Ku.Bila Aku telah menciptakannya dan meniupkan roh kepada nya,bersujudlah kamu di hadapan makhluk baru itu sebagai penghormatan dan bukan sebagai sujud ibadah,karena Allah s.w.t. melarang hamba-Nya beribadah kepada sesama makhluk-Nya."
Kemudian diciptakanlah Adam oleh Allah s.w.t.dari segumpal tanah liat,kering dan lumpur hitam yang berbentuk.Setelah disempurnakan bentuknya ditiupkanlah roh ciptaan Tuhan ke dalamnya dan berdirilah ia tegak menjadi manusia yang sempurna

. 

Iblis Membangkang.

Iblis membangkang dan enggan mematuhi perintah Allah seperti para malaikat yang lain,yang segera bersujud di hadapan Adam sebagai penghormatan bagi makhluk Allah yang akan diberi amanat menguasai bumi dengan segala apa yang hidup dan tumbuh di atasnya serta yang terpendam di dalamnya.Iblis merasa dirinya lebih mulia,lebih utama dan lebih agung dari Adam,karena ia diciptakan dari unsur api,sedang Adam dari tanah dan lumpur.Kebanggaannya dengan asal usulnya menjadikan ia sombong dan merasa rendah untuk bersujud menghormati Adam seperti para malaikat yang lain,walaupun diperintah oleh Allah.

Tuhan bertanya kepada Iblis:"Apakah yang mencegahmu sujud menghormati sesuatu yang telah Aku ciptakan dengan tangan-Ku?"
Iblis menjawab:"Aku adalah lebih mulia dan lebih unggul dari dia.Engkau ciptakan aku dari api dan menciptakannya dari lumpur."
Karena kesombongan,kecongkakan dan pembangkangannya melakukan sujud yang diperintahkan,maka Allah menghukum Iblis dengan mengusir dari syurga dan mengeluarkannya dari barisan malaikat dengan disertai kutukan dan laknat yang akan melekat pd.dirinya hingga hari kiamat.Di samping itu ia dinyatakan sebagai penghuni neraka.

Iblis dengan sombongnya menerima dengan baik hukuman Tuhan itu dan ia hanya mohon agar kepadanya diberi kesempatan untuk hidup kekal hingga hari kebangkitan kembali di hari kiamat.Allah meluluskan permohonannya dan ditangguhkanlah ia sampai hari kebangkitan,tidak berterima kasih dan bersyukur atas pemberian jaminan itu,bahkan sebaliknya ia mengancam akan menyesatkan Adam,sebagai sebab terusirnya dia dari syurga dan dikeluarkannya dari barisan malaikat,dan akan mendatangi anak-anak keturunannya dari segala sudut untuk memujuk mereka meninggalkan jalan yang lurus dan bersamanya menempuh jalan yang sesat,mengajak mereka melakukan maksiat dan hal-hal yang terlarang,menggoda mereka supaya melalaikan perintah-perintah agama dan mempengaruhi mereka agar tidak bersyukur dan beramal soleh.

Kemudian Allah berfirman kepada Iblis yang terkutuk itu:
"Pergilah engkau bersama pengikut-pengikutmu yang semuanya akan menjadi isi neraka Jahanam dan bahan bakar neraka.Engkau tidak akan berdaya menyesatkan hamba-hamba-Ku yang telah beriman kepada Ku dengan sepenuh hatinya dan memiliki aqidah yang mantap yang tidak akan tergoyah oleh rayuanmu walaupun engkau menggunakan segala kepandaianmu menghasut dan memfitnah." 


Pengetahuan Adam Tentang Nama-Nama Benda.

Allah hendak menghilangkan anggapan rendah para malaikat terhadap Adam dan menyakinkan mereka akan kebenaran hikmat-Nya menunjuk Adam sebagai penguasa bumi,maka diajarkanlah kepada Adam nama-nama benda yang berada di alam semesta,kemudian diperagakanlah benda-benda itu di depan para malaikat seraya:"Cubalah sebutkan bagi-Ku nama benda-benda itu,jika kamu benar merasa lebih mengetahui dan lebih mengerti dari Adam."
Para malaikat tidak berdaya memenuhi tentangan Allah untuk menyebut nama-nama benda yang berada di depan mereka.Mereka mengakui ketidak-sanggupan mereka dengan berkata:
"Maha Agung Engkau! Sesungguhnya kami tidak memiliki pengetahuan tentang sesuatu kecuali apa yang Tuhan ajakan kepada kami.Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana."

Adam lalu diperintahkan oleh Allah untuk memberitahukan nama-nama itu kepada para malaikat dan setelah diberitahukan oleh Adam,berfirmanlah Allah kepada mereka:"Bukankah Aku telah katakan padamu bahawa Aku mengetahui rahsia langit dan bumi dan mengetahui apa yang kamu lahirkan dan apa yang kamu sembunyikan." 

Adam Menghuni Syurga.

Adam diberi tempat oleh Allah di syurga dan baginya diciptakanlah Hawa untuk mendampinginya dan menjadi teman hidupnya,menghilangkan rasa kesepiannya dan melengkapi keperluan fitrahnya untuk mengembangkan keturunan. Menurut cerita para ulamat Hawa diciptakan oleh Allah dari salah satu tulang rusuk Adam yang disebelah kiri diwaktu ia masih tidur sehingga ketika ia terjaga,ia melihat Hawa sudah berada di sampingnya.ia ditanya oleh malaikat:"Wahai Adam! Apa dan siapakah makhluk yang berada di sampingmu itu?"

Berkatalah Adam:"Seorang perempuan."Sesuai dengan fitrah yang telah diilhamkan oleh Allah kepadanya."Siapa namanya?"tanya malaikat lagi."Hawa",jawab Adam."Untuk apa Tuhan menciptakan makhluk ini?",tanya malaikat lagi.
Adam menjawab:"Untuk mendampingiku,memberi kebahagian bagiku dan mengisi keperluan hidupku sesuai dengan kehendak Allah."

Allah berpesan kepada Adam:"Tinggallah engkau bersama isterimu di syurga,rasakanlah kenikmatan yang berlimpah-limpah didalamnya,rasailah dan makanlah buah-buahan yang lazat yang terdapat di dalamnya sepuas hatimu dan sekehendak nasfumu.Kamu tidak akan mengalami atau merasa lapar,dahaga ataupun letih selama kamu berada di dalamnya.Akan tetapi Aku ingatkan janganlah makan buah dari pohon ini yang akan menyebabkan kamu celaka dan termasuk orang-orang yang zalim.Ketahuilah bahawa Iblis itu adalah musuhmu dan musuh isterimu,ia akan berusaha membujuk kamu dan menyeret kamu keluar dari syurga sehingga hilanglah kebahagiaan yang kamu sedang nikmat ini." 

Iblis Mulai Beraksi.

Sesuai dengan ancaman yang diucapkan ketika diusir oleh allah dari Syurga akibat pembangkangannya dan terdorong pula oleh rasa iri hati dan dengki terhadap Adam yang menjadi sebab sampai ia terkutuk dan terlaknat selama-lamanya tersingkir dari singgahsana kebesarannya.Iblis mulai menunjukkan rancangan penyesatannya kepada Adam dan Hawa yang sedang hidup berdua di syurga yang tenteram, damai dan bahagia.

Ia menyatakan kepada mereka bahawa ia adalah kawan mereka dan ingin memberi nasihat dan petunjuk untuk kebaikan dan mengekalkan kebahagiaan mereka.Segala cara dan kata-kata halus digunakan oleh Iblis untuk mendapatkan kepercayaan Adam dan Hawa bahawa ia betul-betul jujur dalam nasihat dan petunjuknya kepada mereka.Ia membisikan kepada mereka bahwa.larangan Tuhan kepada mereka memakan buah-buah yang ditunjuk itu adalah karena dengan memakan buah itu mereka akan menjelma menjadi malaikat dan akan hidup kekal.Diulang-ulangilah bujukannya dengan menunjukkan akan harumnya bau pohon yang dilarang indah bentuk buahnya dan lazat rasanya.Sehingga pada akhirnya termakanlah bujukan yang halus itu oleh Adam dan Hawa dan dilanggarlah larangan Tuhan.

Allah mencela perbuatan mereka itu dan berfirman yang bermaksud: "Tidakkah Aku mencegah kamu mendekati pohon itu dan memakan dari buahnya dan tidakkah Aku telah ingatkan kamu bahawa syaitan itu adalah musuhmu yang nyata."
Adam dan Hawa mendengar firman Allah itu sedarlah ia bahawa mereka telah terlanggar perintah Allah dan bahawa mereka telah melakukan suatu kesalahan dan dosa besar.Seraya menyesal berkatalah mereka:"Wahai Tuhan kami! Kami telah menganiaya diri kami sendiri dan telah melanggar perintah-Mu karena terkena bujukan Iblis.Ampunilah dosa kami karena nescaya kami akan tergolong orang-orang yang rugi bila Engkau tidak mengampuni dan mengasihi kami." 

Adam dan Hawa Diturunkan Ke Bumi.

Allah telah menerima taubat Adam dan Hawa serta mengampuni perbuatan pelanggaran yang mereka telah lakukan hal mana telah melegakan dada mereka dan menghilangkan rasa sedih akibat kelalaian peringatan Tuhan tentang Iblis sehingga terjerumus menjadi mangsa bujukan dan rayuannya yang manis namun berancun itu.

Adam dan Hawa merasa tenteram kembali setelah menerima pengampunan Allah dan selanjutnya akan menjaga jangan sampai tertipu lagi oleh Iblis dan akan berusaha agar pelanggaran yang telah dilakukan dan menimbulkan murka dan teguran Tuhan itu menjadi pengajaran bagi mereka berdua untuk lebih berhati-hati menghadapi tipu daya dan bujukan Iblis yang terlaknat itu.Harapan untuk tinggal terus di syurga yang telah pudar karena perbuatan pelanggaran perintah Allah,hidup kembali dalam hati dan fikiran Adam dan Hawa yang merasa kenikmatan dan kebahagiaan hidup mereka di syurga tidak akan terganggu oleh sesuatu dan bahawa redha Allah serta rahmatnya akan tetap melimpah di atas mereka untuk selama-lamanya.Akan tetapi Allah telah menentukan dalam takdir-Nya apa yang tidak terlintas dalam hati dan tidak terfikirkan oleh mereka. Allah s.w.t.yang telah menentukan dalam takdir-nya bahawa bumi yang penuh dengan kekayaan untuk dikelolanya,akan dikuasai kepada manusia keturunan Adam memerintahkan Adam dan Hawa turun ke bumi sebagai benih pertama dari hamba-hambanya yang bernama manusia itu.Berfirmanlah Allah kepada mereka:"Turunlah kamu ke bumi sebagian daripada kamu menjadi musuh bagi sebagian yang lain kamu dapat tinggal tetap dan hidup disan sampai waktu yang telah ditentukan."

Turunlah Adam dan Hawa ke bumi menghadapi cara hidup baru yang jauh berlainan dengan hidup di syurga yang pernah dialami dan yang tidak akan berulang kembali.Mereka harus menempuh hidup di dunia yang fana ini dengan suka dan dukanya dan akan menurunkan umat manusia yang beraneka ragam sifat dan tabiatnya berbeda-beda warna kulit dan kecerdasan otaknya.Umat manusia yang akan berkelompok-kelompok menjadi suku-suku dan bangsa-bangsa di mana yang satu menjadi musuh yang lain saling bunuh-membunuh aniaya-menganianya dan tindas-menindas sehingga dari waktu ke waktu Allah mengutus nabi-nabi-Nya dan rasul-rasul-Nya memimpin hamba-hamba-Nya ke jalan yang lurus penuh damai kasih sayang di antara sesama manusia jalan yang menuju kepada redha-Nya dan kebahagiaan manusia di dunia dan akhirat. 

Kisah Adam dalam Al-Quran.

Al_Quran menceritakan kisah Adam dalam beberapa surah di antaranya surah Al_Baqarah ayat 30 sehingga ayat 38 dan surah Al_A'raaf ayat 11 sehingga 25 


Pengajaran Yang Terdapat Dari Kisah Adam.

Bahawasanya hikmah yang terkandung dalam perintah-perintah dan larangan-larangan Allah dan dalam apa yang diciptakannya kadangkala tidak atau belum dapat dicapai oelh otak manusia bahkan oleh makhluk-Nya yang terdekat sebagaimana telah dialami oleh para malaikat tatkala diberitahu bahawa Allah akan menciptakan manusia - keturunan Adam untuk menjadi khalifah-Nya di bumi sehingga mereka seakan-akan berkeberatan dan bertanya-tanya mengapa dan untuk apa Allah menciptakan jenis makhluk lain daripada mereka yang sudah patuh rajin beribadat, bertasbih, bertahmid dan mengagungkan nama-Nya.

Bahawasanya manusia walaupun ia telah dikurniakan kecergasan berfikir dan kekuatan fizikal dan mental ia tetap mempunyai beberapa kelemahan pada dirinya seperti sifat lalai, lupa dan khilaf.Hal mana telah terjadi pada diri Nabi Adam yang walaupun ia telah menjadi manusia yang sempurna dan dikurniakan kedudukan yang istimewa di syurga ia tetap tidak terhindar dari sifat-sifat manusia yang lemah itu.Ia telah lupa dan melalaikan peringatan Allah kepadanya tentang pohon terlarang dan tentang Iblis yang menjadi musuhnya dan musuh seluruh keturunannya, sehingga terperangkap ke dalam tipu daya dan terjadilah pelanggaran pertama yang dilakukan oleh manusia terhadap larangan Allah.

Bahawasanya seseorang yang telah terlanjur melakukan maksiat dan berbuat dosa tidaklah ia sepatutnya berputus asa dari rahmat dan ampunan Tuhan asalkan ia sedar akan kesalahannya dan bertaubat tidak akan melakukannya kembali.Rahmat allah dan maghfirah-Nya dpt mencakup segala dosa yang diperbuat oleh hamba-Nya kecuali syirik bagaimana pun besar dosa itu asalkan diikuti dengan kesedaran bertaubat dan pengakuan kesalahan.
Sifat sombong dan congkak selalu membawa akibat kerugian dan kebinasaan.Lihatlah Iblis yang turun dari singgahsananya dilucutkan kedudukannya sebagai seorang malaikat dan diusir oleh Allah dari syurga dengan disertai kutukan dan laknat yang akan melekat kepada dirinya hingga hari Kiamat karena kesombongannya dan kebanggaaannya dengan asal-usulnya sehingga ia menganggap dan memandang rendah kepada Nabi Adam dan menolak untuk sujud menghormatinya walaupun diperintahkan oleh Allah s.w.t.

Sunday, January 30, 2011

KEJADIAN MANUSIA

Assalamualaikum...


Marilah sama-sama kita panjatkan kesyukuran kepada Allah S.W.T kerana diberikan umur yang panjang,dan kesihatan yang baik.
Saya ingin berkongsi ilmu tentang kejadian kita sebagai manusia di bumi Allah ini.Hal ini, kita lalai,leka dan lupa asal usul kita kerana kita hanya mengejar kekayaan dunia semata-mata.Oleh  itu,marilah sama-sama kita lihat,baca betul-betul bagaimana kejadian kita sebagai manusia..


Allah S.W.T  telah telah melahirkan mengikut beberapa peringkat:



PERINGKAT 1 

NUTFAH : iaitu peringkat pertama bermula selepas persenyawaan atau minggu pertama. Ianya bermula setelah berlakunya percampuran air mani
Maksud firman Allah dala surah al-Insan : 2
       " Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia  daripada setitis air mani yang bercampur yang Kami (hendak mengujinya dengan perintah dan larangan), kerana itu Kami jadikan dia mendengar dan melihat "

       Menurut Ibn Jurair al-Tabari, asal perkataan nutfah ialah nutf ertinya air yang sedikit yang terdapat di dalam sesuatu bekas samada telaga, tabung dan sebagainya. Sementara perkataan amsyaj berasal daripada perkataan masyj yang bererti percampuran

         Berasaskan kepada makna perkataan tersebut maksud ayat di atas ialah sesungguhnya Kami (Allah) menciptakan manusia daripada air mani lelaki dan air mani perempuan.
               Daripada nutfah inilah Allah menciptakan anggota-anggota yang berlainan , tingkahlaku yang berbeza serta menjadikan lelaki dan perempuan. Daripada nutfah lelaki akan terbentunya saraf, tulang dan fakulti , manakala dari nutfah perempuan akan terbentuknya darah dan daging.

PERINGKAT 2


ALAQAH : Peringkat pembentukan alaqah ialah pada hujung minggu pertama / hari ketujuh . Pada hari yang ketujuh telur yang sudah disenyawakan itu akan tertanam di dinding rahim (qarar makin). Selepas itu Kami mengubah nutfah menjadi alaqah.
Firman Allah yang bermaksud
" Kemudian Kami mengubah nutfah menjadi alaqah"
                                                                 al-Mukminun : 14
         Kebanyakan ahli tafsir menafsirkan alaqah dengan makna segumpal darah. Ini mungkin dibuat berasaskan pandangan mata kasar. Alaqah sebenarnya suatu benda yang amat seni yang diliputi oleh darah. Selain itu alaqah mempunyai beberapa maksud :
  • sesuatu yang bergantung atau melekat
  • pacat atau lintah
  • suatu buku atau ketulan darah

Peringkat alaqah adalah peringkat pada minggu pertama hingga minggu ketiga di alam rahim.

PERINGKAT 3


MUDGHAH : Pembentukan mudghah dikatakan berlaku pada minggu keempat. Perkataan mudghah disebut sebanyak dua kali di dalam al-Quran iaitu surah al-Hajj ayat 5 dan surah al-Mukminun ayat 14
Firman Allah yang bermaksud
"lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging"
al-Mukminun : 14

      Diperingkat ini sudah berlaku pembentukan otak, saraf tunjang, telinga dan anggota-anggota yang lain. Selain itu sistem pernafasan bayi sudah terbentuk.Vilus yang tertanam di dalam otot-otot ibu kini mempunyai saluran darahnya sendiri. Jantung bayi pula mula berdengup. Untuk perkembangan seterusnya, darah mula mengalir dengan lebih banyak lagi kesitu bagi membekalkan oksigen dan pemakanan yang secukupnya. Menjelang tujuh minggu sistem pernafasan bayi mula berfungsi sendiri.

PERINGKAT 4


IZAM DAN LAHM : Pada peringkat ini iaitu minggu kelima, keenam dan ketujuh ialah peringkat pembentukan tulang yang mendahului pembentukan oto-otot. Apabila tulang belulang telah dibentuk, otot-otot akan membungkus rangka tersebut.
Firman Allah yang bermaksud :
"Lalu Kami mengubahkan pula mudghah itu menjadi izam da kemudiannya Kami membalutkan Izam dengan daging"
al-Mukminun : 14

Kemudian pada minggu ketujuh terbentuk pula satu sistem yang kompleks. Pada tahap ini perut dan usus , seluruh saraf, otak dan tulang belakang mula terbentuk. Serentak dengan itu sistem pernafasan dan saluran pernafasan dari mulut ke hidung dan juga ke pau-paru mula kelihatan. Begitu juga dengan organ pembiakan, kalenjar, hati, buah penggang, pundi air kencing dan lain-lain terbentuk dengan lebih sempurna lagi. Kaki dan tangan juga mula tumbuh. Begitu juga mata, telinga dan mulut semakin sempurna. Pada minggu kelapan semuanya telah sempurna dan lengkap.

PERINGKAT 5

NASY'AH KHALQAN AKHAR : Pada peringkat ini iaitu menjelang minggu kelapan , beberapa perubahan lagi berlaku. Perubahan pada tahap ini bukan lagi embrio tetapi sudah masuk ke peringkat janin.Pada bulan ketiga, semua tulang janin telah terbentuk dengan sempurnanya Kuku-kukunya pun mula tumbuh. Pada bulan keempat, pembentukan uri menjadi cukup lengkap menyebabkan baki pranatel bayi dalam kandungan hanya untuk menyempurnakan semua anggota yang sudah wujud. Walaupun perubahan tetap berlaku tetapi  perubahannya hanya pada ukuran bayi sahaja.

PERINGKAT 6

NAFKHUR-RUH : Iaitu peringkat peniupan roh. Para ulamak Islam menyatakan bilakah roh ditiupkan ke dalam jasad yang sedang berkembang? Mereka hanya sepakat mengatakan peniupan roh ini berlaku selepas empat puluh hari dan selepas terbentuknya organ-organ tubuh termasuklah organ seks. Nilai kehidupan mereka telah pun bermula sejak di alam rahim lagi. Ketika di alam rahim perkembangan mereka bukanlah proses perkembangan fizikal semata-mata tetapi telahpun mempunyai hubungan dengan Allah s.w.t melalui ikatan kesaksian sebagaimana yang disebutkan oleh Allah di dalam al-Quran surah al-A'raf : 172. Dengan ini entiti roh dan jasad saling bantu membantu untuk meningkatkan martabat dan kejadian insan disisi Allah s.w.t.